Thursday, March 26, 2015

Muharam ertinya yang diharamkan atau yang dipantangkan. Dinamakan Muharram kerana pada bulan ini masyarakat Arab Jahilliah dilarang sama sekali berperang atau berbunuh-bunuhan sesama mereka. Muharram dipilih sebagai bulan pertama dalam tahun baru hijrah kerana pada bulan ini Rasulullah SAW mula bertekad untuk berhijrah ke Madinah, setelah menerima ancaman yang cukup keras daripada kaumnya di Mekah. Ini dikuatkan dengan janji tokoh-tokoh Islam Madinah di Aqabah (selepas haji wada'(perpisahan) yang menyatakan sumpah setianya kepada Rasulullah, sekiranya baginda berhijrah ke sana.

Safar ertinya kosong (sifar) kerana pada bulan kedua ini orang-orang Arab terutamanya lelaki meninggalkan rumah mereka untuk berdagang, mengembara dan menjalankan kegiatan ekonomi yang lain di luar tempat mereka tinggal. Ini menyebabkan kesemua rumah-rumah mereka menjadi kosong terutamanya lelaki dan yang tinggal cuma kanak-kanak serta kaum perempuan.

Rabi' ertinya menetap. Awal ertinya pertama. Rabiulawal ertinya menetap yang pertama. Dinamakan Rabi'ulawal kerana bulan ini lelaki yang keluar beramai-ramai mencari nafkah pada bulan safar tadi, mula pulang semula ke rumah masing-masing dengan membawa hasil dagangan dan pertanian.

Rabiulakhir adalah tempoh penghabisan bagi orang-orang Arab lelaki yang keluar rumah mencari nafkah kembali semula ke rumah masing-masing (menetap akhir). Keadaan perkampungan mereka mula riuh-rendah dan anak isteri masing-masing begembira dengan kepulangan ayah dan suami mereka.

Jamadil ertinya kering. Jamadilawal ertinya kering pertama. Dinamakan demikian kerana pada masa dahulu ketika bulan Jamadilawal tanah Arab akan mula menghadapi masalah kekeringan air, parit, perigi dan lembah-lembah menjadi kering kontang setengahnya menjadi beku.

Jamadilakhir ertinya kering kali yang terakhir atau penghabisan. Dinamakan demikian kerana masalah kekeringan tanah dan lembah yang dialami pada bulan lalu, akan mula berakhir pada bulan ini apabila air mula mengalir.

Rejab ertinya mulia atau agung. Bulan Rejab adalah bulan yang dianggap mulia. Orang-orang Arab menamakan bulan Rejab kerana pada masa dahulu mereka begitu memuliakan bulan tersebut. Diriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda; "Ketahuilah bahawa bulan ALLAH SWT, maka barangsiapa yang berpuasa satu hari dalam bulan Rejab dengan ikhlas, maka pasti ia mendapat keredhaan yang besar dari ALLAH SWT.

Sya'aban ertinya berkelompok. Orang Arab pada bulan ini lazimnya berkelompok untuk mencari nafkah. Peristiwa penting bagi umat Islam pada bulan ini adalah pertukaran kiblat umat Islam dari Baitul Maqdis ke Kaabah (Baitullah). Sabda Nabi SAW: Apabila masuk bulan Sya'aban, baikkanlah niatmu padanya, kerana kelebihan Sya'aban atas segala bulan seperti kelebihanku atas kamu. Barangsiapa berpuasa pada awal hari khamis pada bulan Sya'aban dan akhir Khamis daripada Sya'aban dimasukkan dia ke dalam syurga (dari kitab Al-Barakah).

Ramadan ertinya sangat panas. Bulan ini merupakan satu-satunya bulan yang tersebut dalam al-Quran. Satu bulan yang punyai pelbagai kelebihan dan keutamaan. Ia melambangkan kesucian dan amat penting bagi umat Islam. Bulan Ramadan penuh dengan keistimewaan dan kelebihan. Abu Hurairah menyatakan: Telah bersanda Rasulullah SAW yang bermaksud: Apabila telah tibanya Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. - Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e Ahmad.

Bulan Syawal adalah bulan perayaan dan kemenangan kegembiraan menyambut Syawal adalah manifestasi kekuatan iman yang telah memenangi pertarungan melawan hawa nafsu selama sebulan. Satu keistimewaan yang difahami dari sabda Nabi Muhammad SAW itu ialah satu kebajikan dan peluang yang paling berharga disediakan kepada orang-orang yang mengejar nikmat dan kemurahan Allah SWT sepanjang hidup terdapat pula di bulan Syawal iaitu puasa enam hari di dalamnya.

Zulkaedah ertinya yang empunya duduk. Dinamakan Zulkaedah kerana pada bulan ini orang-orang Arab semuanya duduk di rumah, tidak ke mana-mana. Mereka tidak musafir atau meninggalkan rumah seperti pada bulan-bulan yang lain. Sebaliknya mereka duduk-duduk dan beristirehat sahaja di rumah (cuti).

Zulhijjah ertinya empunya haji. Dinamakan Zulhijjah kerana pada bulan ini umat manusia sejak zaman Nabi Adam a.s melakukan ibadat haji ketika Nabi Adam mengerjakan ibadat haji. Jibril a.s berkata kepadanya 7000 tahun sebelum anda melakukan ibadah haji ini. Malaikat sudah tawaf mengelilingi kaabah. (Petikan dari AL Islam Bil 269 Zulhijjah/Muharram 1417/Mei1996).

1 comment:

  1. i know how u feel
    no matter what, keep your word n never break your promises.....Daddy..
    doa dan tawakal insyallah we will be together 4ever n ever.....

    ReplyDelete